Rabu, 24 September 2008

Titik-Titik Akupuntur,Jenis-jenis rawatan dan Keberkesanan


Pengamal perubatan akupuntur menyatakan bahawa terdapat 365 titik akupuntur yang utama dan lebih 1000 titik akupuntur luar biasa pada tubuh manusia. Titik akupuntur luar biasa wujud apabila sesuatu penyakit pada organ badan kita mewujudkan rasa sakit dan bengkak di tempat yang jauh daripada organ kita. Sebagai contoh, kesakitan pada diafragma boleh menyebabkan rasa sakit di hujung bahu.
Pengamal akupuntur juga mengelaskan sebahagian besar titik akupuntur kepada 12 kumpulan utama di mana titik – titik ini digabungkan melalui Meridian. Meridian yang mempunyai 12 meridian utama mengawal edaran seks, paru-paru, usus besar, perut, limfa, jantung, usus kecil, pundi kencing, buah pinggang, pundi hempedu, dan hati. Selain itu, jumlah titik akupuntur pada meridian adalah berbeza, contohnya, meridian jantung mempunyai sembilan titik manakala meridian pundi kencing mempunyai 67 titik. (Akupuntur dan aplikasi, 2007, “terdapat 365 titik akupuntur”)
Seorang penyelidik penyakit terkemuka, iaitu Dr. Ronald Melzack menyatakan bahawa tekanan pada titik – titik tertentu adalah berkaitan dengan pola kesakitan dan sesuatu rangsangan yang singkat tetapi berkeamatan tinggi pada titik itu melalui jarum halus dapat melegakan kesakitan. Selain itu, penyelidikan saintifik tentang akupuntur telah dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa otak mengeluarkan ‘ endorfin ’ yang boleh melegakan kesakitan secara semulajadi semasa rawatan akupuntur. Di kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Hong Kong di mana terdapatnya ramai penagih dadah jenis Heroin, mereka menggunakan cara rawatan akupuntur kerana ia dapat meningkatkan kadar endorfin dalam badan. Hal ini kerana kebanyakan penagih dadah mempunyai kadar endorfin lebih rendah dalam cecair spina mereka.
Titik akupuntur mempunyai sifat elektrik yang sangat luar biasa. Titik-titik ini mampu mengalirkan aliran elektrik di sekeliling kulit dan pada kawasan yang berdekatan atau berkaitan. Namun, yang lebih luar biasa adalah titik akupuntur berubah mengikut emosi pesakit. Jika ditinjau mengikut cara perubatan Cina ia dikaitkan dengan tenaga Qi dan konsep Yin dan Yang. Tegasnya, teori rawatan akupunktur tradisional cina adalah bergerak atas aliran Qi iaitu tenaga penting - sepanjang laluan yang dipanggil meridian.
Sesungguhnya, para doktor cuba mencari meridian dengan membedah tubuh tetapi tidak pernah berjaya kerana meridian bukanlah laluan fizikal seperti saluran darah atau saraf yang boleh dilihat. Namun kini, kita boleh melihat medan tenaga tubuh menggunakan seni fotografi Kirlian seorang saintis Soviet pada tahun 1940-an. Ia menunjukkan aura atau medan tenaga paling hebat di titik-titik yang dikenalpasti oleh orang Cina sebagai titik akupunktur. (Ahmad, 2006, “titik akupuntur”)
Konsep Yin dan Yang membawa maksud keseimbangan organ dalam tubuh. Yin merujuk kepada organ badan yang baik manakala Yang pula merupakan organ badan yang kurang baik. Keseimbangan dalam Yin dan Yang menentukan kestabilan kesihatan badan. Perubatan Cina juga mengkaitkan hubungan cuaca dengan lima unsur iaitu Mu (kayu), Shui (air), Huo (api), Jin ( logam), dan Tu (bumi) dengan kesihatan dan penyakit. Manakala organ dalam tubuh badan dikaitkan dengan lima unsur serta Yin dan Yang. Sebagai contoh hati dikaitkan dengan kayu, jantung dengan api, limfa dengan bumi. (Akupuntur, 2007, “ying dan yang”)
Namun begitu, perkara yang paling utama dalam kaedah akupuntur adalah diagnosis nadi. Kaedah ini amat penting kerana ia dapat mengesan jenis penyakit yang pernah dihidapi. Hal ini bagi memudahkan pengamal–pengamal akupuntur mengenal pasti dengan mudah latar belakang perubatan pesakit berkenaan (Pomeranz, 1995)Pengamal akupuntur tradisional juga boleh mengukur tahap tenaga dalam meridian dengan memeriksa nadi arteri radial pada pergelangan tangan. Tahap tenaga dalam meridian ini boleh mencapai sehingga 14 jenis nadi arteri pada kedua–dua pergelangan tangan. Namun begitu, ahli-ahli akupuntur
berpendapat lima atau enam nadi sahaja yang boleh dikesan bagi tujuan perubatan. Selain itu, pengamal akupuntur tradisional juga akan memeriksa lidah, warna, tisu kulit, tisu rambut, pergerakan dan kedudukan tubuh , pernafasan dan bunyi suara dalam rawatan akupuntur. Di samping itu, gaya hidup, diet, senaman, tidur yang mencukupi, fobia, dan reaksi terhadap penyakit turut diambil kira. Proses ini dikenal sebagai ‘ Mempalpat ’ iaitu mendiagnosis gangguan pengaliran Qia dan serangan penyakit terhadap organ dalaman. (Stux G, 1995).
Jenis-jenis Akupuntur

i. Akupuntur Penyakit Fisiologi
Penggunaan kaedah rawatan akupuntur berkesan pada penyakit yang membabitkan fungsi proses fisiologi seperti sakit kepala, paru-paru, keadaan reumatik yang agak genting, masalah haid, masalah pencernaan dan masalah saraf. Walau bagaimanapun penyakit seperti apendisitis yang agak kronik dan kritikal juga telah dirawat di China. Hasil rawatan itu, pesakit telah sembuh dalam tempoh lapan hari. Di Britian, para doktor telah menggunakankaedah akupuntur merawat pesakit yang menghidapi sakit kepala dan migrain. Rawatan ini dianggap berjaya apabila 80% daripada pesakit tersebut telah sembuh sepenuhnya.
ii. Akupuntur Pembedahan
Beberapa orang doktor yang telah menyaksikan pembedahan menggunakan kaedah akupuntur turut mengakui bahawa rawatan perubatan akupuntur bukan sahaja tertakluk pada fungsi proses fisiologi tapi juga pada jenis penyakit yang memerlukan rawatan seperti pembedahan caesarean, tumor, pembedahan gigi dan paru-paru pesakit. Kesemua pesakit berada dalam keadaan sedar dan tidak menerima sebarang ubat anestetik. Hanya jarum akupuntur yang dirangsang dengan elektrik di masukkan dalam kulit pesakit.
iii. Akupunktur Telinga
Menurut Alan Kok, Pengurus Conforer Medicare Interprise yang menyediakan perkhidmatan mengesan dan mengubati penyakit melalui telinga, teknik itu mendiagnosis dan mengenalpasti serta mengubati penyakit dengan tepat dan berkesan. Ketepatannya dalam mengesan penyakit melebihi 95% manakala keberkesannya
mengubati penyakit melebihi 92%. Beliau memaklumkan bahawa terdapat 144 titik akupunktur di bahagian telinga. Rawatan akupunktur melalui titik-titik itu boleh mengesan penyakit lelah, sakit dada, batuk biasa atau batuk kokol pada sistem pernafasan serta gastrik. (Ahmad, 2006, “titik akupuntur ”)
Menurut beliau lagi, titik-titik akupunktur di telinga diperiksa menggunakan alat pengesan yang disambungkan pada sebuah mesin mikro-ionizer untuk mengesan penyakit. Apabila mesin tersebut memperlihatkan perubahan warna ia menandakan bahawa penyakit telah dikesan.Warna hitam menunjukkan seseorang itu menghidap barah. Warna merah menandakan penyakit yang berkaitan dengan kepanasan manakala warna coklat merupakan tanda penyakit yang bersangkut-paut dengan luka dan angin.
Penyakit yang dikesan diubati dengan menggunakan sejenis alat yang dipasang pada telinga antara 30 minit hingga sejam, ia bergantung kepada jenis penyakit. Tujuannya adalah untuk melegakan saraf, menstabilkan gelombang nadi yin dan yang dan secara beransur-ansur meredakan penyakit

iv. Akupuntur Kencing Manis
Bagi pesakit yang menghidap penyakit kencing manis, jarum itu ditusuk di betis. Apabila dicucuk di mana-mana bahagian, satu arus mengalir ke otak dan mengarahkan hormon mencari punca penyakit. Kebiasaannya, tusukan jarum akupuntur di badan tidak mendatangkan kesakitan kerana jarum yang digunakan terlalu halus, lembut dan tajam. Jarum itu ditusuk di lapisan atas kulit antara satu 0.5 hingga 1.0 sentimeter. Peluang untuk mengalami kesakitan amat tipis, kecuali pesakit itu menghidap kecacatan sejak lahir, barah dan jangkitan penyakit serius. Jarum akan dibiarkan antara 15 hingga 45minit untuk sekali rawatan. Sebelum rawatan diberikan, analisis harus dibuat berdasarkan gejala yang ditunjukkan pesakit selepas 30 hingga 45 minit menjalani kaedah akupuntur. Gejala yang ditunjukkan itu perlu dibincangkan dengan doktor dari Barat bagi menentukan diagnosis dan pelan rawatan.
v.Akupunktur Hidung
Cabang spesialisasi ilmu akupunktur-moksibasi ini berkembang berdasarkan pada literatur ilmu pengubatan tradisional Tiong Hoa yang menyatakan bahawa hidung mempunyai hubungan yang erat dengan Ci Sie seluruh tubuh, Can Fu dan alat gerak. Perkembangan akupunktur hidung sampai saat ini telah memasuki bidang anesthesia dengan akupunktur anelgetika. Secara keseluruhannya terdapat delapan buah titik akupunktur hidung yang tunggal dan 15 titik akupunktur hidung yang ganda. Untuk penentuan, garis-garis hidung digunakan. Garis hidung pertama terletak tepat di pertengahan hidung atau pertengahan muka, iaitu dari puncak hidung terus ke antara dua ujung alis mata (titik Ying Tang, titik istimewa) dan sampai di dahi. Pada garis ini terdapat delapan buah titik akupunktur hidung yang tunggal. Garis hidung kedua dimulai dari titik tertinggi tulang hidung terus berjalan melewati puncak tertinggi cuping hidung. Garis hidung ketiga pula dimulai dari hujung medial alis mata berjalan menyusuri tepi hidung antara jarak 1 – 2 cm dari garis hidung kedua dan berakhir di tepi cuping hidung. (Titik akupuntur, 2007, “titik-titik akupuntur melalui median”)
Keberkesanan Rawatan Akupuntur
Dalam perubatan cina, ketidakstabilan arus energi alam dapat menyebabkan suatu penyakit tertentu. Akupuntur bertujuan untuk memulihkan kesihatan dengan meningkatkan energi yang ada pada setiap individu.
Akupuntur, terapi perubatan dengan menggunakan jarum ini, sudah tak asing lagi digunakan dalam masyarakat. Tusuk jarum atau akupuntur adalah bahagian penting daripada ilmu kedoktoran tradisional Tiongkok (Cina) yang mana merupakan sejenis pengubatan yang menggunakan teknik tusukan jarum-jarum halus pada titik tertentu badan yang lebih dikenali sebagai ‘acupuncture point’ atau ‘acupoint’.
Menurut Pakar Perubatan Pemulihan, Datuk Dr Zaliha Omar, ada banyak kepercayaan karut mengenai akupuntur seperti jika jumlah jarum yang digunakan lebih banyak, bermakna pesakit lebih cepat sembuh. Hakikatnya, bilangan jarum tidak boleh dijadikan sebagai pengukur keberkesanannya kerana ia sebenarnya bergantung kepada tindak balas badan terhadap rawatan ( Ismail Mat, Berita Harian, 11 Jun 2004 ). Sesetengah pengamal akupuntur berpendapat bahawa hanya kemahiran dalam mempraktikkan akupuntur dapat mencapai rawatan yang dikehendaki iaitu mengetahui di mana hendak merangsang kulit. Walaupun terdapat banyak cara untuk merangsang kulit seperti “moxibustion”, urutan elektrik, getaran mekanikal, panas, dan hayunan magnetik di amalkan secara meluas namun kaedah yang terbaik adalah kaedah rangsangan jarum ( Ronald Malzek, Acupunture Theraphy ).
Jarum akupuntur yang terdiri daripada jarum perak diperbuat daripada aloi perak dan semua jarum adalah berjenis besi berkalis karat. Selain memastikan kedudukan jarum tepat pada titik akupuntur, keberkesanan rawatan akupuntur bergantung kepada jumlah jarum akupuntur yang digunakan, kedalaman menembusi kulit, tempoh jarum itu ditusuk pada titik akupuntur dan jumlah rawatan yang dijalankan. Apabila titik akupuntur yang berkaitan dikesan, jarum akupuntur akan dicucuk pada kulit pesakit dan dibiarkan beberapa lama iaitu dari beberapa saat hingga ke beberapa minit. Sesetengah pengamal akupuntur akan memutarkan jarum dengan menggunakan hujung jari yang bertujuan untuk merangsang titik akupuntur. Selain itu, mereka juga akan merangsangkan titik akupuntur dengan menggunakan jarum elektrik.
Pesakit tidak akan berasa sakit ketika rawatan akupuntur dijalankan. Ini kerana jarum yang digunakan adalah sangat tajam dan hanya beberapa milimeter sahaja dimasukkan ke dalam kulit pesakit.
Rawatan melalui akupuntur mempunyai banyak kelebihan kerana ia dapat menyembuhkan banyak penyakit. Badan Kesihatan Dunia (WHO) telah menggariskan beberapa penyakit yang dapat dirawat dengan baik melalui kaedah akupuntur. (Mark Fenn, Acupunture). Kaedah rawatan ini dapat merawat gangguan dalam sistem pernafasan iaitu sinusitis, selesema, dan tonsilitis. Begitu juga bagi gangguan pencernaan seperti gastrik, sembelit, cirit-birit dan paralysis usus. Selain itu ia juga merawat gangguan pada mata seperti sakit mata awal dan retinismyopia dan gangguan mulut seperti sakit gigi, gusi dan halkum.
Di samping itu, penggunaan kaedah rawatan akupunktur juga berkesan pada penyakit yang melibatkankan disfungsi proses fisiologi, sakit kepala, paru-paru, keadaan reumatik yang agak genting, masalah haid, masalah pencernaan dan masalah saraf. Pakar Perunding Anestesia Hospital Ipoh, Dr Kavita Bhojwani, berkata akupunktur boleh digunakan bagi sakit kepala, migrain, sakit belakang, bahu, siku atau lutut akibat osteoartritis. Akupunktur digunakan secara meluas untuk merawat sakit kepala dan migrain. Kajian mendapati akupunktur sesuai digunakan kebanyakan pesakit dan kesannya bertahan beberapa bulan selepas tamat rawatan (Mark Fenn, Acupunture). Akupunktur juga mampu membantu pesakit yang mengalami masalah palsi Bell iaitu kelumpuhan saraf muka akibat kelemahan otot pada sebelah muka dan tidak berupaya untuk menutup mata, trigeminal neuralgia (sakit yang sangat teruk atau terasa menyucuk dan kesakitan biasanya mengikut arah saraf) atau sakit membabitkan otot seperti kerap di alami oleh pemain golf.
“Menurut pakar perubatan dari Institut Penyelidikan Akupuntur, Universiti Fudan, China, Dr Cao Xiaoding, akupunktur boleh meningkatkan daya pertahanan badan. Kajian ke atas pesakit-pesakit yang baru menjalani pembedahan di China dan diberikan ubat morfin mendapati akupunktur boleh merencatkan kesan sampingan ubat yang biasanya menyebabkan pesakit mengalami masalah pernafasan, sukar buang air kencing, mual dan muntah. Bahkan, daya imunisasi pesakit juga bertambah. Namun, akupuntur paling kerap digunakan dalam rawatan pemulihan pesakit strok. Ia berkesan bagi memperbaiki fungsi saraf motor (saraf yang menghantar rangsangan dari otak ke otot), percakapan dan menghilangkan rasa kebas serta mengembalikan fungsi lain yang terjejas akibat serangan strok” ( Ismail Mat, Berita Harian, 11 Jun 2004 ).
Di samping itu, penyakit reumatik boleh disembuhkan dengan kaedah akupunktur atau mengambil campuran herba. Akupunktur juga boleh merendahkan paras kolesterol di dalam aliran darah, dengan itu ia akan mengurangkan risiko penyakit jantung. Selain itu, akupunktur juga boleh mengurangkan kesakitan sewaktu pembedahan.
Antara penyakit lain yang boleh disembuhkan ialah sakit kepala, sakit gigi, asma bronchial, gangguan pencernaan, diabetes 2, strok ringan, dan lain-lain. Selain itu akupunktur juga dapat meningkatkan sistem imun tubuh dan menurunkan berat badan pada pesakit obesitas. “Aplikasi pengubatan akupunktur sendiri kini makin meluas. Bukan hanya untuk mengembalikan keseimbangan homeostasis saja, tapi juga untuk menimbulkan berbagai kesan, seperti analgesia (penghilang rasa sakit) dan anesthesia (pembiusan). Kesan analgesia dan anesthesia terjadi kerana titik akupunktur dapat meningkatkan kadar endorphin dalam darah, juga opioid peptida endogenous di susunan saraf pusat. Akupunktur anesthesia sejak tahun 1968 sudah dipraktikkan dalam pembiusan pembedahan besar di kebanyakkan hospital” (Ronald Malzek, Acupunture Theraphy ).
Kesan aplikasi akupunktur yang lain adalah untuk penyembuhan, pencegahan (dapat meningkatkan daya tahan tubuh), menunjang olahraga (mampu menimbulkan kesan dopping tanpa menggunakan ubat), dan untuk meningkatkan penampilan (akupunktur estetika). “Dalam bidang veterinar, akupunktur ternyata dapat meningkatkan penghadaman makanan dan gizi asal protein haiwan dengan cara meningkatkan produksi dan reproduksi seperti penggemukan haiwan ternak, merangsang ovulasi, meningkatkan produksi susu dan meningkatkan daya tahan terhadap penyakit” (Leong Hong Tole, Rawatan Herba dan Akupuntur ).
Akupunktur dikatakan salah satu kaedah rawatan hipnosis dan berkesan dalam rawatan sebagai ubat penahan sakit atau anestetik. Pesakit juga boleh berada dalam keadaan sedar ketika mereka menerima rawatan akupunktur. Misalnya, pesakit boleh memberitahu pengamal akupunktur sekiranya jarum tidak ditusuk pada titik akupunktur . Rawatan akupunktur juga boleh digunakan dalan merawat seseorang yang terkena pancaran kilat. Hal ini terbukti apabila rawatan ini telah dapat memulihkan kulit seperti sedia kala. Pengkajian ilmu akupunktur sudah melibatkan pelbagai bahagian badan dan pelbagai bahagian klinikal serta telah menyediakan banyak data-data yang penting tentang fungsi menyusun semula, menghilangkan kesakitan dan meningkatkan daya tahanan dari akupunktur.
Selama ini promalin sudah dikenali sebagai zat pengatur tumbuh-tumbuhan yang dalam pembuatannya memerlukan komponen kimia. Oleh kerana itu tidak menutup kemungkinan dilakukan penelitian tentang adanya jalur meridian pada tumbuhan. Manfaat yang diharapkan misalnya peningkatkan jumlah pembelahan sel pada hujung kelopak buah supaya berbuah dengan ukuran yang lebih besar. Ia juga diharapkan dapat digunakan untuk mempercepat masa kematangan dan meningkatkan daya tahan tumbuhan terhadap penyakit.
Boleh dikatakan tidak perlu bimbang menjalani akupuntur kerana ia selamat, tiada kesan sampingan dan murah. Jarum logam digunakan adalah steril, dibungkus satu persatu dan biasanya hanya dipakai sekali. Ini bermakna ia dibuang selepas digunakan. Apabila jarum dicucuk pada mana-mana titik akupuntur, pesakit mungkin berasa sakit sedikit tetapi kebiasannya ia tidak mendatangkan kesakitan.

Langkah-langkah Rawatan

Sebelum memulakan rawatan

Diagnosis
Menurut singse Wee yang ditemuramah, perkara yang paling utama dalam kaedah akupuntur adalah diagnosis nadi. Kaedah ini adalah penting kerana ia dapat mengesan penyakit yang pernah dihidapi. Hal ini memudahkan pengamal–pengamal akupuntur mengenal pasti dengan mudah latar belakang perubatan pesakit berkenaan.
Selain itu, pada masa yang sama singse juga akan memerhati ciri-ciri luaran pesakit. Di samping itu, beliau akan menghidu bau dari badan pesakit dan bertanya tentang masalah atau penyakit yang dihidapi pesakit. Semua langkah ini membantu untuk membuat diagnosis yang jitu.

Pensterilan
Jarum akupuntur mestilah disteril sebelum memulakan rawatan. Merendam jarum dalam air yang mendidih bukanlah suatu cara yang baik kerana pembunuhan kuman dengan cara ini adalah kurang berkesan. Pensterilan amat ditegaskan sepanjang rawatan akupuntur.
Jarum biasanya disteril dengan alat pensterilan berudara panas pada suhu 180 darjah. Langkah ini adalah penting kerana jarum akupuntur yang pernah digunakan itu mungkin tercemar dengan virus hepatitis ataupun HIV. Namun, pengamal akupuntur boleh menggunakan jarum ‘disposable’ sekiranya beliau ingin mengelakkan langkah pensterilan ini.
Selain itu, kawasan kulit di sekitar ‘acupoint’ hendaklah dibersihkan dengan menggunakan 75% alkohol dan 1.5% iodin. (Junying & Zhihong, 1998)
Pemeriksaan jarum
Sebelum jarum digunakan, ia haruslah diperiksa dan dipastikan tidak berkarat dan tiada kesan tidak rata di permukaannya. Sekiranya pengamal akupuntur mendapati jarum bermasalah, maka jarum tersebut hendaklah dibuang bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. (Junying & Zhihong, 1998)


Semasa rawatan.
i. Posisi yang harus diamalkan oleh pesakit
Posisi pesakit akan ditentukan oleh pengamal akupuntur untuk memudahkan beliau menjalankan rawatan. Beliau haruslah memastikan pesakit berada dalam keadaan yang selesa. Posisi yang paling lumrah adalah secara duduk dan membaring
Keadaan membaring merupakan posisi yang terbaik kerana ini membolehkan pesakit berada dalam keadaan yang relax. Dengan ini, kes kepeningan dapat dielakkan.
Menurut kajian,kes kepeningan akan berlaku pada 5% hingga 10% pesakit yang menerima rawatan dalam keadaan berduduk, terutamanya pada waktu permulaan rawatan.(Junying & Zhihong, 1998)
ii. Proses mencucuk jarum (jarum filiform digunakan)
Terdapat beberapa cara untuk memasukkan jarum akupuntur berdasarkan lokasi ‘acupoint’ dan saiz jarum yang digunaka..

Sekiranya jarum yang digunakan adalah panjang, seseorang ahli akupuntur boleh memasukkan jarum menebusi kulit pesakit dengan memegang pada pemegang dan badan jarum. Bagi pesakit yang gemuk atau kulitnya telah lentur, pengamal akupuntur biasanya memasukkan jarum menembusi kulitnya dengan menarik dan menegangkan kulitnya. Apa-apa jua cara yang digunakan, memasukkan jarum ke kulit hendaklah dilakukan dengan cepat dan tepat.

Secara keseluruhan, jarum boleh dicucuk menebusi kulit berdasarkan 3 sudut:
45 darjah: jarum ditebusi ke kulit dengan membentuk 45 darjah antara jarum dengan kulit pesakit. Cara ini digunakan pada ‘acupoint’ yang berada di kawasan berotot nipis atau di bahagian yang berdekatan dengan organ penting.

Kedalaman jarum yang akan menembusi kulit hendaklah bersesuaian. Cara untuk mengukur yang terbaik adalah dengan memberi rangsangan kepada pesakit tetapi tidak mencederakannya.
Apabila jarum sampai ke kedalaman tertentu, pesakit akan berasa sakit atau kebas di sekeliling ‘acupoint’. Keadaan ini dipanggil kehadiran ‘Qi’ atau dalam bahasa lain dikenali sebagai tindak balas terhadap jarum. Tindak balas ini merupakan asas kepada rawatan dan pemulihan akupuntur. Tanpa tindak balas ini, keputusan yang baik tidak akan dapat dicapai. (Junying & Zhihong, 1998)

iii. Pengekalan atau pengeluaran jarum dari ‘acupoint’ selepas Qi tercapai
Keputusan sama ada untuk mengekalkan atau mengeluarkan jarum dari ‘acupoint’ selepas tercapainya ‘Qi’ bergantung kepada keperluan rawatan dan lokasi ‘acupoint’ yang telah dicucuk degan jarum.
Biasanya, jarum tidak akan dibiarkan di kulit selepas Qi tercapai bagi ‘acupoint’ Yamen (Du 15 iaitu berada di bahagian atas belakang leher ), Lianquan (Ren 23 iaitu bahagian depan leher), Tiantu (Ren 22 iaitu bahagian depan leher) dan titik-titik Jing well ( ‘acupoints’ yang berada tapak kaki). (Rujuk appendix D1 dan D2 gambar rajah bagi lokasi ‘acupoint’ yang disebut)
Bagi mengelakkan pendarahan di ‘acupoint’, jarum hendaklah dikeluarkan secara perlahan-lahan sebelum ia ditarik keluar secara pantas. Kawasan yang dicucuk akan ditekan dengan kapas semasa pengeluaran jarum dari dalam kulit. (Junying & Zhihong, 1998)

Peralatan untuk rawatan akupuntur (jarum)

Menurut Stux, G. dalam buku beliau ,‘Basic of Acupuncture’, jarum yang paling popular digunakan adalah jenis jarum filiform, jarum kulit (cutaneous dalam bahasa Inggeris) termasuk jarum bunga pelam dan jarum tujuh bintang dan jarum bersegi-tiga. (1995)

Jarum filiform



Jarum filiform yang biasa digunakan mempunyai ukuran panjang yang berbeza-beza, iaitu dari 0.5 cun ke 5 cun (atau dalam kata lain 1.67-16.67cm). Cun merupakan unit yang mengukur panjang di mana satu cun bersamaan dengan satu pertiga decimeter. Panjang jarum diambil kira di bahagian badan jarum sahaja. Bahagian pemegang yang biasanya dibuat daripada perak tidak diambil kira Diameter badan adalah dari Gauge No.34 hingga No.26. Gauge merupakan had sesuai untuk mengukur kelebaran atau ketebalan (rujuk jadual bawah untuk ukuran dalam mm).







Jarum kulit
Jarum kulit digunakan untuk merangsang permukaan kulit sahaja. Jenis jarum cutaneous yang paling biasa digunakan ialah jenis bunga pelam dan jenis tujuh bintang. Jarum bunga pelam terdiri daripada 5 jarum ke
cil yang dibuat daripada besi tak berkarat (stainless steel). Jarum-jarum kecil ini terlekat pada pinggan kecil di hujung jarum dan tersusun seperti kelompak bunga pelam







Jarum tujuh bintang




Jarum tujuh bintang pula terdiri daripada tujuh batang jarum kecil yang juga dibuat daripada besi tak berkarat. Jarum-jarum kecil ini terlekat pada pinggan kecil di hujung jarum (rujuk appendix Auntuk gambar rajah). Ia digunakan khas dalam rawatan kes jangkitan kuman (inflammation), sakit saraf di bahagian muka atau kepala (neuralgia), dan kebengkakan sendi.

Jarum segi tiga
Jarum segi tiga pula mempunyai badan yang bersegi tiga dan berhujung tajam (rujuk appendix A untuk gambar rajah). Jarum ini digunakan untuk mencucuk dan menyebabkan pengeluaran darah. (Stux & Pomeranz, 1995)

Sejarah akupuntur


Akupuntur berasal daripada perkataan Latin di mana ‘acus’ bermaksud jarum dan ‘pungere’ bermaksud cucuk. Akupuntur adalah sejenis perubatan yang menggunakan teknik tusukan jarum-jarum halus pada titik-titik tertentu pada badan yang lebih dikenali sebagai ‘acupunture point’.
Rawatan akupuntur telah digunakan oleh pelbagai masyarakat kuno tamadun awal seperti orang-orang Bunti Afrika, Arab Tigris, Mesir kuno, India dan China. Namun begitu, ahli-ahli perubatan memberikan penghormatan mereka kepada China. Hal ini kerana amalan akupuntur ini telah lama diamalkan oleh rakyat China iaitu sejak 4000 tahun dahulu dan diteruskan sehingga hari ini.
Sejarah juga membuktikan bahawa bangsa Cina merupakan bangsa pertama di dunia yang mencatatkan sejarah dalam perubatan akupuntur. Hal ini terbukti apabila Maharaja China telah menulis dengan lengkap dalam bukunya yang bertajuk ‘Huang Ti The Yellow Emperor Canon of Medicine’ yang dikarang pada tahun 2000 SM. Buku yang diterjemahkan masih berada dalam simpanan seorang penulis di Beijing, China

Pengenalan Akupuntur


Perubatan merupakan salah satu cabang sains hayat berkenaan menjaga dan mengekalkan kesihatan dan rasa sihat (wellness). Dengan kata lain, perubatan ialah sains untuk menghalang dan menyembuhkan penyakit. Tradisional pula bermaksud bercorak tradisi atau dengan erti kata lain masyarakat yang mengamalkan cara hidup turun temurun.Perubatan tradisional bermaksud menjaga kesihatan dengan menggunakan kaedah turun-temurun. Perubatan tradisional banyak menggunakan kaedah bahan tempatan asli seperti tumbuh-tumbuhan, herba, bahan semulajadi dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis sistem perubatan tradisional seperti perubatan Yunani (Greek), perubatan India (Ayurveda), perubatan Cina (Akupuntur), perubatan herba, perubatan Islam, Alopathy, dan Homeopathy.
Bagi perubatan tradisional, gelaran bagi doktor tradisional adalah berlainan. Bagi masyarakat Cina, doktor tradisional digelar ‘Fashe’, ‘Da Fu’, ‘Tabib Cina’ dan ‘Singse’. Perubatan Cina semakin meluas dan ramai orang yang serasi dengan ubat penyembuhannya. Salah satu daripadanya ialah akupuntur.
Akupuntur merupakan salah satu perubatan tertua di dunia yang sering digunakan bagi menyembuhkan penyakit.Rawatan Akupuntur dan Herba telah lama digunakan sejak zaman Cina Purba Kala dalam masa berjuta tahun dahulu,tetapi ia telah diperkembangkan ke seluruh dunia sejak dekad ini. Sejarahnya adalah panjang, tetapi keluarannya tetap baru. Oleh itu, Rawatan Akupuntur dan herba juga dipanggil Rawatan Ubatan Baru dan Lama.Akunpuntur adalah kaedah memasukkan jarum halus, mendorong kuasa elektrik untuk berhubung ke permukaan badan secara teratur serta mempengaruhi fungsi fisiologi keseluruh tubuh badan.
Rawatan akupuntur berbeza sedikit antara cara rawatan masyarakat kuno Cina dengan rawatan masa kini. Dahulu, masyarakat kuno Cina menggunakan batu tajam, kayu dan buluh sebagai asas rawatan untuk menekan dan menusuk pada bahagian–bahagian tertentu.Namun, kini alat-alat asas ini diganti dengan alat yang lebih moden iaitu menggunakan jarum halus dimana jarum ini telah disterilkan atau disucihamakan. Dalam perubatan akupuntur moden hari ini, terdapat pelbagai teknik yang diamalkan oleh ahli-ahli akupuntur atau pengamal akupuntur. Secara keseluruhannya terdapat lebih daripada sebelas bentuk akupuntur moden. Satu daripadanya adalah akupuntur klasik di mana kebiasaanya menggunakan jarum-jarum halus sebagai rawatan. Terdapat juga akupuntur elektrik di mana ia menggunakan stimulator elektrik bervoltage rendah supaya tidak membahayakan pesakit dan akupuntur elektronik yang menggunakan alat-alat elektronik kecil. Selain itu, akupuntur bekam darah menggunakan acu bekam untuk menggeluarkan darah kotor daripada badan kita. Terdapat juga akupuntur bekam yang menggunakan acu bekam untuk menyedut keluar angin dari badan kita. Akupuntur mosibusi ialah akupuntur yang menghangatkan titik-titik tertentu dalam badan, manakala akupuntur urut yang meliputi pelepasan tekanan, urut ( massage ) dan reiki. Selain itu, terdapat juga akupuntur homeopathy, akupuntur mata, kepala, telinga, dan sebagainya.