Rabu, 24 September 2008

Pengenalan Akupuntur


Perubatan merupakan salah satu cabang sains hayat berkenaan menjaga dan mengekalkan kesihatan dan rasa sihat (wellness). Dengan kata lain, perubatan ialah sains untuk menghalang dan menyembuhkan penyakit. Tradisional pula bermaksud bercorak tradisi atau dengan erti kata lain masyarakat yang mengamalkan cara hidup turun temurun.Perubatan tradisional bermaksud menjaga kesihatan dengan menggunakan kaedah turun-temurun. Perubatan tradisional banyak menggunakan kaedah bahan tempatan asli seperti tumbuh-tumbuhan, herba, bahan semulajadi dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis sistem perubatan tradisional seperti perubatan Yunani (Greek), perubatan India (Ayurveda), perubatan Cina (Akupuntur), perubatan herba, perubatan Islam, Alopathy, dan Homeopathy.
Bagi perubatan tradisional, gelaran bagi doktor tradisional adalah berlainan. Bagi masyarakat Cina, doktor tradisional digelar ‘Fashe’, ‘Da Fu’, ‘Tabib Cina’ dan ‘Singse’. Perubatan Cina semakin meluas dan ramai orang yang serasi dengan ubat penyembuhannya. Salah satu daripadanya ialah akupuntur.
Akupuntur merupakan salah satu perubatan tertua di dunia yang sering digunakan bagi menyembuhkan penyakit.Rawatan Akupuntur dan Herba telah lama digunakan sejak zaman Cina Purba Kala dalam masa berjuta tahun dahulu,tetapi ia telah diperkembangkan ke seluruh dunia sejak dekad ini. Sejarahnya adalah panjang, tetapi keluarannya tetap baru. Oleh itu, Rawatan Akupuntur dan herba juga dipanggil Rawatan Ubatan Baru dan Lama.Akunpuntur adalah kaedah memasukkan jarum halus, mendorong kuasa elektrik untuk berhubung ke permukaan badan secara teratur serta mempengaruhi fungsi fisiologi keseluruh tubuh badan.
Rawatan akupuntur berbeza sedikit antara cara rawatan masyarakat kuno Cina dengan rawatan masa kini. Dahulu, masyarakat kuno Cina menggunakan batu tajam, kayu dan buluh sebagai asas rawatan untuk menekan dan menusuk pada bahagian–bahagian tertentu.Namun, kini alat-alat asas ini diganti dengan alat yang lebih moden iaitu menggunakan jarum halus dimana jarum ini telah disterilkan atau disucihamakan. Dalam perubatan akupuntur moden hari ini, terdapat pelbagai teknik yang diamalkan oleh ahli-ahli akupuntur atau pengamal akupuntur. Secara keseluruhannya terdapat lebih daripada sebelas bentuk akupuntur moden. Satu daripadanya adalah akupuntur klasik di mana kebiasaanya menggunakan jarum-jarum halus sebagai rawatan. Terdapat juga akupuntur elektrik di mana ia menggunakan stimulator elektrik bervoltage rendah supaya tidak membahayakan pesakit dan akupuntur elektronik yang menggunakan alat-alat elektronik kecil. Selain itu, akupuntur bekam darah menggunakan acu bekam untuk menggeluarkan darah kotor daripada badan kita. Terdapat juga akupuntur bekam yang menggunakan acu bekam untuk menyedut keluar angin dari badan kita. Akupuntur mosibusi ialah akupuntur yang menghangatkan titik-titik tertentu dalam badan, manakala akupuntur urut yang meliputi pelepasan tekanan, urut ( massage ) dan reiki. Selain itu, terdapat juga akupuntur homeopathy, akupuntur mata, kepala, telinga, dan sebagainya.

Tiada ulasan: